Allah Berjanji Untuk Mengabulkan Doa
Orang yang Berdoa. Dibawah ini diberikan beberapa adab berdoa
berpandukan al-Quran dan hadis.
Allah berfirman: “Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu
tentang Aku, maka (jawablah), bahawasanya Aku adalah dekat. Aku
mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepada-Ku,
maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah) Ku dan hendaklah
mereka beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran.”
Al Baqarah: 186
Ada beberapa adab dan peraturan
yang disunahkan agar mendapat kelebihan dan barakah dari Allah dan
supaya doa itu dimakbulkan. Berikut ini diberikan beberapa panduan
menurut Al-Quran dan sunnah.
- Berdoalah dengan suara yang lembut
Doa adalah ditujukan kepada Allah yang Maha Mendengar. Apa sahaja doa
kita akan didengari Allah. Oleh yang demikian tak perlulah kita
mengeraskan suara.
- Berdoa dengan penuh yakin
Hendaklah berdoa dengan penuh yakin bahawa doa kita akan dimakbulkan.
Dari Anas r.a. katanya: “Rasulullah s.a.w. bersabda”: “Apabila kamu
berdoa, hendaklah kamu bersungguh-sungguh, yakin dalam doa (bahawa Allah
taala mendengar dan mengabulkan). Janganlah kamu berdoa dengan kalimah:
“Ya Allah, jika Engkau mahu, berilah aku!” Kerana sesungguhnya Allah
Taala tidak dipaksa memenuhi sesuatu doa.”
H.R. Anas r.a.
- Memohon Sebanyak Tiga Kali
Ulangilah doa sebanyak 3 kali. Diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan
Imam Muslim bahawa Abdullah Bin Mas’ud berkata: Baginda Rasulullah
s.a.w. jika berdoa, baginda berdoa sebanyak tiga kali, dan jika baginda
memohon baginda memohon sebanyak tiga kali. (H.R Bukhari dan Muslim)
- Bersalawat Kepada Nabi s.a.w.:
Sabda Rasul s.a.w.: Tiap tiap doa akan terhalang sehingga dia
bersalawat kepada Nabi s.a.w. (Hadis Hasan) Doa hendaklah dimulakan dan
diakhirkan dengan berselawat ke atas Nabi Muhammad s.a.w.
Dari Abdullah Bin Mas’ud r.a., katanya: Nabi Muhammad s.a.w.
menghadap ke Ka’bah, lalu beliau berdoa mengutuk beberapa orang dari
golongan Quraisy.
H.R. Bukhari dan Muslim
- Mengangkat Kedua-dua Belah Tangan Sambil Berdoa
Abdullah Bin Omar (ra) berkata: Nabi Muhammad SAW. mengangkat
kedua-dua tangannya, lalu baginda berdoa: Ya Allah, aku berlepas diri
kepada-Mu daripada apa yang dilakukan oleh Khalid (dua kali).
(Diriwayatkan oleh Al Bukhari)
Dalam hadis lain, berkata Abu Musa: Kemudian baginda Rasul s.a.w.
mengangkat kedua-dua tangannya, lalu beliau berdoa: Ya Allah, ampunilah
dosa ‘Ubaid Bin ‘Amir, dan aku melihat keputihan ketiak baginda. (HR
Imam Bukhari)
Berkata Abu Musa (ra): Sebelum ‘Ubaid Abu ‘Amir meninggal dunia, dia
telah berpesan kepada aku agar aku menyampaikan salamnya kepada Nabi
Muhammad s.a.w. dan memohon doanya agar Allah mengampuni dosa-dosanya.
Ketika pesanan tersebut aku sampaikan kepada baginda Rasul s.a.w. lalu
baginda menyuruhku agar mengambil sebekas air untuknya. Kemudian beliau
berwudhu’ dan mengangkatkan kedua-dua tangannya sambil berdoa: Ya Allah,
ampunilah dosa ‘Ubaid Abi ‘Amir; dan aku melihat keputihan ketiak
baginda. Baginda seterusnya berdoa: Ya Allah, ampunilah dosa ‘Ubaid Abi
‘Amir dan aku melihat keputihan ketiak baginda. Baginda seterusnya
berdoa): Ya Allah, jadikanlah dia pada Hari Kiamat sebagai orang yang
mulia mengatasi kebanyakan makhluk-Mu. Lalu akupun berkata: Mohon
ampunan jugalah untuk aku ya Rasulullah. Kemudian baginda berdoa: Ya
Allah, ampunilah dosa dosa Abdullah Bin Qais (Abu Musa), dan masukkanlah
dia ke dalam tempat masuk yang mulia pada Hari Kiamat. (HR Imam Bukhari
dan Imam Muslim)
Dari Abdullah Bin ‘Amr Bin Al ‘Ash r.a, bahawa Nabi Muhammad s.a.w.
membaca ucapan Nabi Isa a.s.: Ertinya: “Sekiranya Engkau seksakan mereka
sesungguhnya mereka adalah hamba hamba-Mu, dan sekiranya Engkau ampuni
mereka, sesungguhnya Engkau adalah Maha Mulia lagi Maha Bijaksana”. (Al
Maidah: 11)
Lalu Rasul s.a.w. menganqkat kedua-dua tangannya dan berdoa: “Ya
Allah, umatku, umatku “, (sambil baginda menangis). Selanjutnya Allah
s.w.t. berfirman kepada Jibril (a.s.): Hai Jibril, pergilah engkau
kepada Muhammad, dan katakan kepadanya: “Sesungguhnya Kami akan
meredainya dan umatnya, dan kami tidak akan menyusahkan kamu “. (HR Imam
Muslim)
- Berdoa Dengan Merendah Diri
Allah s.w.t. menceritakan tentang keadaan para Nabi ketika mereka
memohon kepada-Nya, antaranya: “Dan (ingatlah kisah) Ayyub, ketika ia
menyeru Tuhannya: (“Ya Tuhanku), sesungguhnya aku telah ditimpa penyakit
dan Engkau adalah Tuhan Yang Maha Penyayang diantara semua penyayang.”
(Al Anbiyaa: 83)
“Dan (ingatlah kisah) Zakaria, tatkala ia menyeru Tuhannya: “Ya
Tuhanku, janganlah Engkau membiarkan aku hidup seorang diri, dan
Engkaulah waris yang paling baik”. (Al Anbiyaa: 89)
- Berdoa Pada Beberapa Waktu dan Keadaan yang Mustajab
Ada beberapa waktu berdoa yang mustajab menurut hadis dan al-Quran.
Antaranya ialah ketika berpuasa, ketika sebelum berbuka, ketika hujan
lebat, selepas berzikir dan sebagainya. Doa orang yang teraniaya atau
dizalimi juga dimakbulkan, oleh yang demikian, janganlah kita
menganiayai sesiapa sahaja.
Allah s.w.t. telah menetapkan beberapa waktu atau masa yang sangat
baik jika kita berdoa didalamnya. Waktu waktu itu antara lain: Pada
malam Lailatul Qadr, pada dua pertiga malam, setelah solat waktu dan
pada waktu bersujud dalam sujud rakaat terakhir (doa dalam hati. tanpa
mengeluarkan suara.)
Rasulullah s.a.w. pernah ditanya: Do’a yang manakah yang paling
didengar (diterima)? Jawab baginda: (Do’a) akhir malam dan setelah solat
wajib.
H.R. At-Tarmizi – Sahih
Doa Pada Sepertiga Akhir Malam Sangat Makbul. Diriwayatkan oleh Abu
Hurairah, bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda, “Allah (Yang Maha Suci Lagi
Agung) turun ke langit dunia pada sepertiga yang akhir di setiap malam.
Dia berfirman: “Barangsiapa mendoa kepada-Ku, akan Ku perkenankan
doanya. Barangsiapa meminta kepada-Ku akan Kuberi dia. Siapa yang minta
ampun, akan Kuampuni dia.”
H.R. Bukhari.
http://frekuensikaya.com
No comments:
Post a Comment