Sunday, October 9, 2011

TAUBAT, QADHA SOLAT DAN PUASA, SYIRIK

Soalan; Apabila seseorang itu benar-benar telah bertaubat atas dosa-dosanya,apakah yang mesti dia lakukan?sekiranya sebelum ini dia seorang yang tidak solat dan puasa,adakah dia wajib mengqada solat dan puasa selama mana yang dia tinggalkan itu? dan sekiranya dia adalah pengamal syirik, apakah yang perlu dilakukan terlebih dahulu olehnya?

Jawapan;

1. Taubat adalah wajib ke atas setiap dosa yang kita lakukan. Bertaubat tidak cukup dengan beristighfar atau melakukan solat sunat taubat sahaja. Ia mesti dengan kita melaksanakan rukun-rukun taubat, iaitu;
a) Meninggalkan maksiat yang dilakukan
b) Melahirkan penyesalan dalam diri kerana terlanjur melakukan maksiat tersebut
c) Berazam tidak akan mengulangi lagi maksiat tersebut
d) Jika berkait dengan orang lain, hendaklah kita membebaskan diri dari haknya, iaitu memulangkan hartanya jika berkait dengan harta, atau menyerah diri untuk dihukum jika berkait dengan qazaf (menuduh orang lain berzina) atau memohon maaf darinya, dan jika kita mengumpatinya hendaklah memohon maaf dan meminta halal darinya.
(Riradhus-Salihin, Imam an-Nawawi, bab at-Taubah).

Setelah memenuhi rukun-rukun taubat di atas, barulah selepas itu kita susuli dengan solat sunat taubat dan banyak beristighfar. Menurut ulamak; tanda benar atau tidaknya taubat seseorang dapat dilihat kepada perubahan hidupnya selepas ia bertaubat. Dari seorang yang tidak suka beribadah ia berubah menjadi orang yang gemar beribadah, dari seorang yang tidak pernah menghadiri majlis ilmu ia menjadi seorang yang amat cintakan ilmu dan majlis ilmu. Kalau dahulu ia suka berkawan dengan orang-orang kaki maksiat, setelah bertaubat kawan-kawannya ialah orang-orang soleh dan para ulamak. Jika kehidupannnya sama seperti dulu, tiada sebarang perubahan, itu tandanya ia belum benar-benar bertaubat.

2. Solat dan puasa adalah kewajipan yang telah ditentukan waktunya oleh Allah. Firman Allah (bermaksud); “Sesungguhnya solat itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya” (Surah an-Nisa’, ayat 103). Setiap waktu solat yang kita lalui tanpa mengerjakan solat, maka kita telah berhutang dengan Allah. Begitu juga dengan puasa ramadhan. Oleh itu, orang yang meninggalkan solat fardhu dan juga puasa fardhu, wajib ia mengqadhanya mengikut bilangan yang ditinggalkan. Jika bilangan tersebut tidak dapat dipastikan, hendaklah ditentukan dengan andaian dan diusahakan menggantinya hingga hati benar-benar berpuas hati bahawa semua yang ditinggalkan telah diqadha. Ada ulamak mengsyorkan; seorang yang tidak ingat berapa banyak solat yang telah ia tinggalkan, hendaklah ia melakukan solat qadha pada setiap kali selepas menunaikan solat ada’ (tunai) dan hanya berhenti bila diyakini telah menyamai atau melebihi bilangan solat yang ditinggalkan.[1] Di samping qadha, wajib juga bertaubat nasuha jika solat fardhu itu –dan begitu juga puasa- ditinggalkan dengan sengaja (tanpa sebarang keuzuran). Tidak cukup dengan qadha sahaja tanpa taubat.

3. Bertaubat dari amalan syirik pun sama syarat-syaratnya seperti di atas. Orang yang terlibat, (pertama) ia wajib meninggalkan amalan syirik yang dilakukannya. Jika syirik itu membabitkan pemakaian tangkal, azimat dan sebagainya, hendaklah tangkal dan azimat itu dibuang. (Kedua) ia hendaklah menyesali keterlanjurannya beramal dengan syirik itu dan, (ketiga) ia hendaklah bertekad untuk tidak mengulangi lagi amalan syirik yang dilakukan itu termasuk tidak akan bertandang lagi ke tempat-tempat dilakukan amalan syirik itu dan tidak akan berjumpa/bertemu lagi pengamal-pengamal amalan syirik. Selain itu ia hendaklah banyak beristighfar kepada Allah, berzikir dengan kalimah Tauhid, mengerjakan solat, membanyak al-Quran dan menuntut ilmu agama terutamanya ilmu Aqidah atau iman untuk membuang fahaman-fahaman syirik yang menguasai pemikirannya sebelum ini. Ibadah-badah dan amal-amal ketaatan tersebut insya Allah akan menghapuskan kejahatan-kejahatan syirik dan kejahatan-kejahatan lain yang dilakukan sebelum ini sebagaimana sabda Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam-; “Bertakwalah kamu kepada Allah di mana sahaja kamu berada, ikutilah kejahatan dengan kebaikan yang akan menghapuskannya dan berakhlaklah dengan manusia lain dengan akhlak yang baik”. (HR Imam Ahmad dan at-Tirmizi dari Abi Zarr –radhiyallahu ‘anhu-).

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1. Riyadhus-Salihin, Imam an-Nawawi, bab at-Taubah.
2. Fatwa-Fatwa Semasa, Prof. Dr. Wahbah al-Zuhaili, hlm. 15.

Nota;

[1] Kewajipan mengqadha semua solat fardhu yang ditinggalkan –sama ada dengan sengaja atau tanpa sengaja (seperti kerana tertidur, terlupa dan sebagainya) adalah pandangan jumhur ulamak (merangkumi mazhab Hanafi, Maliki dan Syafi’ie). Sebahagian ulamak berpandangan –antaranya Imam Ibnu Hazm dan Imam Ibnu Taimiyyah- berpandangan; hanya solat yang ditinggalkan tanpa sengaja sahaja yang dituntut supaya diqadha. Contohnya; seorang yang tertidur hingga terlepas waktu subuh, ia wajib mengqadha segera solat subuh itu sebaik sahaja ia bangun. Adapun orang yang meninggalkan solat dengan sengaja, tidak ada qadha untuknya. Menurut Imam Ibnu Taimiyyah; tidak disyariatkan qadha untuk orang yang meninggalkan solat dengan sengaja, malah tidak sah solat qadhanya itu, sebaliknya ia hendaklah memperbanyakkan solat-solat sunat (semoga dapat menampung solat-solat fardhu yang ditinggalnya). Berkata Imam Ibnu Hazm pula; Orang yang sengaja meninggalkan solat hingga keluar waktunya, selama-lamanya ia tidak akan mampu mengqadha/menggantinya. Oleh itu, ia hendaklah memperbanyakkan amalan-amalan kebaikan dan solat-solat sunat semoga akan memberatkan timbangannya di akhirat, di samping ia hendaklah bertaubat dan beristighfar kepada Allah. (Rujukan; Fiqh as-Sunnah, Syeikh Sayyid Sabiq, 1/196 dan Fatawa Arkan al-Islam, Syeikh Muhammad Soleh Uthaimin, hlm. 190 dan 197).

Thursday, October 6, 2011

Khutbah Jumaat : Hidup ini medan ujian.


Khutbah Jumaat : Hidup ini medan ujian.


8 Zulkaedah 1432H. [MOD] -
( 9 Zulkaedah 1432H / 7 Oktober 2011M)
HIDUP INI MEDAN UJIAN
اَلْحَمْدُ لِلَّهِ الْقَائِلِ،
ٱلَّذِى خَلَقَ ٱلْمَوْتَ وَٱلْحَيَوٰةَ لِيَبْلُوَكُمْ أَيُّكُمْ أَحْسَنُ عَمَلًۭا ۚ وَهُوَ ٱلْعَزِيزُ ٱلْغَفُورُ ﴿٢﴾
Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) - untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat) - Surah al-Mulk:2
أَشْهَدُ أَنْ لآإِلهَ إِلاَّ اللَّهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ
اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ
أَمَّا بَعْدُ فَيَا عِبَادَ اللَّهِ ! اتَّقُواْ اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاَتَمُوْتُنَّ إِلاَّ وَأَنْتُمْ مُّسْلِمُوْنَ
Wahai hamba-hamba Allah sekelian!
Siapa pun kita, sebesar mana pun kedudukan kita, sekaya manapun kita, insaflah bahawa akhirnya kita akan kembali menemui Allah SWT apabila tiba saat dan ketikanya. Semuanya kita akan tinggalkan kecuali bekalan sejauh mana kita berjaya laksanakan tanggungjawab kita sebagai hamba Allah merangkap khalifahNya di atas muka bumi ini. Maka bertaqwalah kita kepada Allah SWT kerana taqwalah sebaik-baik bekalan kita apabila menemui Allah SWT kelak.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Naluri semulajadi sebagai ibu dan bapa sudah tentu menginginkan anak-anak mereka berjaya di dalam peperiksaan yang dilalui oleh anak-anak kesayangan mereka. Seolah-olah peperiksaan UPSR, PMR, SPM, STPM, STAM dan lain-lain peperiksaan itu umpama ‘medan perang’ yang menentukan hidup mati anak-anak mereka di masa hadapan. Segala prasarana dan kemudahan cuba sedaya upaya disediakan agar mendapat deretan ‘A’ tercatat dalam slip keputusan peperiksaan anak-anak mereka.
Islam tidak pernah sekali-kali menghalang dan mencantas naluri semulajadi ini, bahkan Islam mendorong agar penganutnya mengungguli setiap kecemerlangan yang tidak bertentangan dengan syarak seperti kecemerlangan di dalam peperiksaan kerana ia akan membawa wajah yang cantik dan indah kepada Islam, lebih-lebih lagi di dunia persaingan yang lebih terbuka dengan penganut-penganut agama yang lain.
Namun perlu diinsafi oleh kita bahawa, Islam memerintahkan kita sebagai bapa mengajarkan kepada anak-anak kita bahawa kecemerlangan sebenar adalah kecemerlangan di dunia dan di akhirat. Peperiksaan umum yang telah dan akan kita duduki adalah peperiksaan-peperiksaan kecil yang telah kita sedia maklumi sukatannya, telah kita maklumi tarikh dan jangkamasa untuk menjawabnya bahkan kita mampu menghafal jawapan-jawapannya.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Sebenarnya di hadapan kita, banyak lagi peperiksaan- peperiksaan yang akan kita tempuhi dari masa ke semasa. Bentuk soalannya yang berbagai-bagai yang perlu kita jawab adakalanya dengan pertuturan dan adakalanya dengan tindakan. Kita diuji dengan senarai perintah-perintah Allah SWT untuk kita laksanakan, kita diuji dengan senarai larangan-larangan Allah SWT untuk kita jauhi. Tidak ada had umur tertentu untuk menduduki peperiksaan-peperiksaan ini melainkan kita akan menerima sijil berhenti sekolah dengan diberikan kepada waris kita satu sijil kematian. Malah semasa di alam barzakh, kita akan terus diajukan soalan demi soalan untuk memastikan ketenangan atau kesengsaraan kita untuk tinggal di dalamnya. Sabda Rasulullah SAW :
ماَ تَزَالُ قَدَمَا عَبدٍ يَومَ القِيَامَةِ حَتَّى يُسأَلَ عَن أَربَعٍ عَن عُمرِهِ فِيمَ أَفنَاهُ وَعَن شَبَابِهِ فِيمَا أَبلاَهُ وَعَن مَالِهِ مِن أَينَ اكْتَسَبَهُ وَفِيمَ أَنفَقَهُ وَعَن عِلْمِهِ مَاذَا عَمِلَ فِيهِ
Tidak akan berganjak kedua kaki seorang hamba pada hari kiamat sehingga ia ditanyai tentang empat soalan; tentang umurnya pada perkara apakah ia musnahkan, tentang zaman mudanya untuk tujuan apa dihabiskan, tentang hartanya daripada mana ia perolehi dan di mana ia habiskan, tentang ilmunya apakah yang dipraktikkan.(Hadith sahih dalam al-Targhib wa al-tarhib )
Prestasi dan kemampuan sebenar kita, akan kita terima keputusannya pada hari graduasi sebenar tatkala kita menerima catatan amalan kita samada melalui tangan kanan atau sebelah belakang. Firman Allah SWT :
فَأَمَّا مَنْ أُوتِىَ كِتَـٰبَهُۥ بِيَمِينِهِۦ ﴿٧﴾ فَسَوْفَ يُحَاسَبُ حِسَابًۭا يَسِيرًۭا ﴿٨﴾ وَيَنقَلِبُ إِلَىٰٓ أَهْلِهِۦ مَسْرُورًۭا ﴿٩﴾ وَأَمَّا مَنْ أُوتِىَ كِتَـٰبَهُۥ وَرَآءَ ظَهْرِهِۦ ﴿١٠﴾ فَسَوْفَ يَدْعُوا۟ ثُبُورًۭا ﴿١١﴾ وَيَصْلَىٰ سَعِيرًا ﴿١٢﴾
kemudian sesiapa yang diberi surat amalnya dengan tangan kanannya, maka ia akan dihisab dengan cara yang mudah dan ringan, dan ia akan pergi kepada keluarganya (yang beriman) dengan sukacita. Dan sesiapa yang diberi menerima surat amalnya (dengan tangan kiri), dari sebelah belakangnya, maka ia akan meraung menyebut-nyebut kebinasaannya, dan ia akan menderita bakaran neraka yang marak menjulang.(Surah al-Insyiqaq 7-12)
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Bertitik tolak dari kefahaman di atas, seorang ayah sepatutnya tetap tidak bergembira jika anaknya beroleh 5A di dalam UPSR jika anaknya gagal melaksanakan 5 kali solat sehari semalam. Kita sepatutnya tidak terlalu gembira bila anak kita mampu menjawab semua soalan peperiksaan namun gagal menjawab satu soalan mudah iaitu ‘ mengapa kamu tidak menutup aurat? ’. Apalah sangat kecemerlangan dengan mahirnya anak-anak kita dalam membaca, menulis dan mengira (3M) jika dia gagal dan tidak tahu membaca al-Quran. Kerajaan sepatutnya tidak berbangga dengan peningkatan prestasi pencapaian peratusan matapelajaran setiap tahun sedangkan peningkatan ini mengiringi peningkatan kes buang bayi, ponteng sekolah, penagihan dadah dan sebagainya.
Oleh kerana falsafah kebendaan telah menguasai masyarakat kita, sehingga kejayaan diukur dengan pencapaian material maka falsafah peperiksaan ini semakin tersasar sehingga ada kes anak-anak dihalang memasuki peperiksaan disebabkan kononnya demi menjaga prestasi sekolah. Beritahulah anak-anak kita bahawa niatkanlah kejayaan dalam peperiksaan untuk berkhidmat kepada agama nescaya akan lajulah mereka meluru ke arah kejayaan-kejayaan yang lain.
Setiap kali datangnya musim peperiksaan sepatutnya mengingatkan kita tentang peperiksaan sebenar yang sedang dan bakal kita hadapi, nescaya kita akan cuba menyediakan jawapan yang sebaik-baiknya melalui tindakan dan amalan kita. Samada kita seorang ayah mahupun seorang anak, kita semua adalah sama di sisi Allah dari sudut kita sedang dan akan diuji olehNya seterusnya kita akan dihujani dengan soalan-soalan yang akan menzahirkan sejauh mana kita menunaikan tanggungjawab sebagai hamba Allah dan sebagai khalifahNya.
بَارَكَ اللهُ لِىْ وَلَكُمْ بِالْقُرْآنِ الْعَظِيْمِ, وَنفَعَنِىْ وَاِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ اْلآيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيْمِ, وَتَقَبَّلَ مِنِّى وَمِنْكُمْ تِلاَوَتَهُ اِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ الْعَلِيْمُ, أَقُوْلُ قَوْلِيْ هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيْمَ ِليْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ فَيَا فَوْزَالْمُسْتَغْفِرِيْنَ وَياَ نَجَاةَ التَّاءِبِيْنَ.