Monday, January 3, 2011

Nasruddin ajak Khairy masuk PAS


HarakahDaily | 3 Jan:

"Marilah bersama saya dan rakan - rakan Dewan Pemuda PAS untuk menyertai perjuangan Islam," kata Ketua Pemuda PAS, Nasrudin Hasan Tantawi kepada Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaludin.

Kenyataan Nasrudin ini dibuat ekoran kenyataan Khairy yang menyatakan hasrat untuk berundur dari pentas politik dan tidak lagi bersedia untuk mempertahankan kerusi Parlimen Rembau yang beliau wakili sekarang.

"Saya mengajak Khairy mempelopori gerakan anak muda yang bangkit seimbang antara tuntutan Amal Islami dengan keperluan Transformasi Politik dalam negara kita," kata Nasrudin.

Bagi Nasrudin, Umno di bawah kepimpinan Datuk Seri Najib jelas tidak mahu menghargai malah tidak menghormati Khairy Jamaludin yang dipilih sebagai pemimpin Pergerakan Pemuda Umno sebaliknya mengambil Datuk Razali orang no 2 dalam Pergerakan Pemuda Umno ke jawatan Timbalan Menteri.

"Ini juga dilihat satu tamparan hebat buat Khairy Jamaludin," katanya.

Bagaimanapun, kata Nasrudin, beliau menghormati hasrat peribadi Khairy dan menyifatkannya sebagai "satu manifestasi penyisihan beliau dari menganggotai kabinet Datuk Seri Najib Abd Razak sebelum ini sedang beliau adalah Ketua Pergerakan Pemuda Umno Kebangsaan dan Ahli Parlimen Rembau."

Menurut Nasrudin, Khairy mempunyai potensi dan bakat kepimpinan yang baik terutama untuk mendekati anak - anak muda negara pada hari ini "dan saya kira ia lebih sempurna serta menjadi nilai tambah yang lebih baik jika Khairy melengkapkan diri dengan ilmu dan fikrah Islam yang mantap lalu menyertai Gerakan Islam ini untuk memperjuangkan Islam dan memimpin anak - anak muda menerajui kebangkitan dan perubahan era ini ke arah membina peradaban yang sejahtera dan negara yang aman membangun."

"Tidak baik mempersiakan bakat kepimpinan yang sedia ada sedang ia masih boleh digilap dan disempurnakan untuk menjadi seorang pemimpin anak muda yang berilmu dan beramal soleh," tambahnya.

"Jika Khairy sudah berasa letih dan bosan dengan politik lalu memilih untuk berehat , saya jangka ia adalah respon kepada situasi politik dalaman Umno yang beliau hadapi," katanya lagi .

Katanya, jiwa seorang pejuang mana mungkin boleh berehat dari perjuangannya.

"Justeru itu saya menghulur tangan mengundang Khairy Jamaludin untuk menyertai perjuangan Islam ini kerana indahnya perjuangan ini , ia tidak semata - mata berorientasikan gerakan politik sebaliknya diseimbangkan dengan gerakan tarbiyyah untuk membina aqidah yang benar, pemikiran Islam yang jelas dan syakhsiyah yang soleh serta gerakan dakwah untuk menyedarkan ummah agar kembali mengabdikan diri kepada Allah swt.

"Akhirnya saya mendoakan agar rakan sejawatan saya Sdr Khairy Jamaludin dikurniakan Allah swt akan kesejahteraan serta kekuatan untuk mendepani cabaran dan pentunjuk demi membuat pilihan yang tepat dan benar," kata Nasrudin lagi dalam kenyataannya itu

No comments:

Post a Comment